* Ramadhan ...Satu Titik Penghijrahan


"Ramadhan bulan yang dinantikan Muslim seluruh dunia. Bermula Ramadhan, pelbagai amalan seperti solat terawih dan kerja-kerja kebajikan yang tidak putus-putus dilakukan kerana tidak mahu terlepas pandang dan peluang untuk mendapat pahala ALLAH ".

Ramadhan ialah bulan yang ditunggu untuk mengimarahkan masjid dengan ibadah wajib dan diselangi dengan ibadah sunat dengan harapan bermulanya satu peristiwa baru dalam mencorak perjalanan hamba-NYA untuk kelangsungan kehidupan agar sentiasa mendapat keredhaan ALLAH. Ramadhan juga adalah petanda lembaran baru bagi umat Muhammad s.a.w yang mengambil bulan ini sebagai satu titik permulaan kepada penghijrahan yang amat bermakna dalam kehidupan mereka. Bulan mulia ini banyak memberikan kesan yang mendalam pada anak-anak adam di muka bumi ini termasuklah kaum hawa.

Bagi sesetengah wanita, detik bersejarah menyentuh perubahan hati dari aspek kerohanian sering tercetus dalam bulan Ramadhan. Kebesaran Ramadhan yang dikatakan menandingi seribu bulan ini menjadi petanda aras baru dari segi perubahan fizikal dengan penjelmaan imej menutup aurat yang membawa kepada satu penampilan yang berbeza dengan apa yang lazim dipaparkan. Tahniah.....sudah ada satu perubahan jasmani dan didoakan rohani dididik dan dipupuk dengan pemikiran yang positif untuk keredhaan Allah. Pakaian mencerminkan ilmu dan nilai yang digarap dari agama yang dianuti manusia. Oleh yang demikian, pada mereka yang mengangkat agama sebagai asas mencorak kehidupan mereka, tidak akan tersasar jauh jika agama itu dijadikan teras dalam menjana kehidupan individu, keluarga dan masyarakat sebelum menyebarkan kepada bangsa dan negara. Agama islam adalah agama yang istimewa kerana ia meletakkan nilai-nilai berpakaian itu berdasarkan kepada tuntutan agama tidak bangsa atau budaya bangsa itu. Ini yang harus difahami dan perihal menutup aurat bagi lelaki dan wanita sangat jelas dalam Quran dan Hadith.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...